Surat untuk jiwa tanpa lara

Sepanjang malam saya merenung skrin laptop dan saya membuat keputusan untuk menulis surat maya secara ringkas buat saudari yang selalu lekat di hati sekurang kurangnya untuk hari ini. Ketika saya menulis surat ini, dinding sedang berbunyi dan tivi kehilangan fungsi. Tapi jiwa saya sentiasa terisi untuk berpuisi dalam sepi tanpa kopi.

Saudari,

Bagaimana angin 17 April bertiup? Saya pasti ia memberi kesan yang menyelesakan dan juga membahagiakan. Bagaimana awan 17 April berarak? Saya yakin ia masih menjadi hari yang cerah walau hujan turun sekalipun. Dan bagaimana senyuman 17 April? Saya tahu ia merupakan senyuman paling berseri dalam hari seorang wanita.

Saudari,

Seperti mana tingginya langit,tetap burung terbang semampu yang boleh. Tapi tak selamanya burung mampu bertahan di udara kerana kudrat tak tertanggung jiwa nan lara. Sepertimana kita yang pernah bercita-cita membina istana pasir di langit ke tujuh,sekadar meludah ke langit cita-ita itu pergi. Kita terlalu muda untuk bertasbih cinta aku suka kau. Malah terlalu muda untuk menolak doktrin kasih rindu petaka sayang julie dan romie. Kita terbuang jauh dalam ludahan benci tapi rindu yang kembali terpalit. Kita lupa sekejap luka torehan di penjuru jantung kerana hati telah lama nyah disfungsi. Lantas kita bermonolog sendirian dengan ilusi halus refleksi cahaya sang marikh semalam. Kita berilusi dalam sedar. Yea,dalam sedar. Kita belum gila.

Seperti hari semalam kita ketawa riang. Lupa fungsi hidup. Lupa caturan akhirat. Lupa ikhtilat yang dimeterai dulu dulu kala. Bunyik musik reggae sedang berkumandang di tepi aku. Oh,tersalah background music.

Setelah banyak episod hidup yang telah kita jamah,akhirnya kita terjunam dalam gaung yang terlau dalam,gelap zulmat. Hakikatnya kita baru sahaja nak bermula tetapi kita lupa membaca prosedur asas aturan kehidupan lantas kita dijerat syaitan yang gila. Kita sendiri mencipta syaitan tapi kita berdalih,lalu menolak agenda pegangan hati. Tempias nafsu menolak muhasabah diri lalu kita janji untuk berpisah tiada.

Saudari

Hari ini saya baru sedar hakikat yang awak telah pun dimiliki oleh seorang lelaki budiman yang kalau boleh saya tak nak tau sapa. Hee. Saya cuba menelan hakikat pilu itu. Pilu yang melulu. 

Maaf saya ucapkan kerana tidak dapat berasional. Kadang kala saya fikirkan yang saya sudah cukup bersedia tapi seperti yang orang lain mengenali saya, saya seorang yang cukup sukar diduga. Boleh jadi saya hadir dengan karekter lelaki paling riang atau boleh jadi saya datang dengan watak yang paling garang. Lebih bagus tidak mengambil sebarang risiko dalam situasi seperti ini. Jika ini satu perang, saya sedang kalah teruk. Dan saya tidak fikir seorang lelaki yang kalah dalam peperangan tak layak makan nasi minyak dengan bahagianya. Hahaha.

Saudari,

Ajal, rezeki dan jodoh ialah kerja Tuhan. Dan betapa kita fikir kita mampu mengawalnya, kita akan sedar yang kita hanyalah manusia biasa. Dan sebagai manusia biasa(atau sedikit terer) saya terima apa jua adanya. Tuhan arif dengan kerjaNya. Saya tidak akan pernah menghalang jodoh.

Semoga berbahagia, semoga sentiasa susah senang bersama, semoga selalu ketawa walau apa jua musibah melanda, semoga sentiasa dalam lindungan Tuhan. Saya di sini akan okay okay sahaja. Dan percaya atau tidak, saya sedang menulis surat ini sambil ketawa. Tambahan pula, saya seorang penyokong Liverpool yang terkenal dengan ketabahan mereka yang luar biasa.

Saudari,

Ini permulaan yang baru dalam hidup saudari. Maka hadapinya dengan tenang. 
Selamat pengantin baru.








p/s: Buka lagu Nomad sambil tulis post ni. Menitis sedas dua air mata.

0 comments:

Post a Comment